Rakan-Rakan Followers

Sunday, May 22, 2011

Tanah Runtuh : 7 Mangsa Dikebumikan Satu Liang Lahad

http://www.bharian.com.my/bharian/PixFront/jenazah.jpg

Hulu Langat, 22.5 : Suasana sayu menyelubungi sekitar Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah Batu 14 bagi menunaikan solat jenazah sebelum dikebumikan selepas Zohor.

Kesemua tujuh jenazah kanak-kanak mangsa tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim Malaysia Madrasah Al-Taqwa di Batu14, Hulu Langat, akan dikebumikan dalam satu liang di tanah perkuburan orang IslamDusun Naning pada pukul 2 petang ini.

Terdahulu lima mayat kanak-kanak iaitu Mohd Azret Azahari, 8; Mohd Zaid Azahari, 14; Mohd Imal Fahad, 9; Mohd Mustakim Mamat, 12 dan Wan Ahmad Hasrim Hazim, 11 sampai di masjid sekitar pukul 10.45 pagi.

Sementara dua lagi mayat terakhir iaitu Dzahir Haziq, 11 dan Mohd Hazim Sapri, 10 selamat
sampai di masjid pada pukul 11.05 pagi.

Pembantu rumah anak-anak yatim berkenaan, Yazid Ishak ketika ditemui berkata baki sembilan lagi mayat yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh telah dituntut oleh waris masing-masing untuk diurus dan dikebumikan.

“Di sini kita akan solat dan kebumikan tujuh jenazah secara bersama…jenazah-jenazah lain sudahpun dituntut waris mereka,” katanya.

Hingga berita ini ditulis, waris tujuh mangsa berkenaan diberi pelung terakhir untuk melihat jenazah sebelum ditutup untuk disolat dan dikebumikan.

Kira-kira 500 orang awam termasuk waris mangsa berada di sekitar kawasan masjid.

Sumber : BERNAMA

p/s: Marilah kita hadiahkan Al-Fatihah buat teman-teman kita. Al-Fatihah~~

Tuesday, May 17, 2011

Mari Mengenali Sultan Muhammad Al-Fatih


Siapa Sultan Muhammad Al-Fatih?

Muhammad al-Fatih merupakan seorang sultan yang mementingkan kekuatan dalaman dan luaran para tenteranya. Mempunyai kepakaran dalam bidang ketenteraan, sains, matematik dan menguasai enam bahasa (bahasa Turki, Greek, Hebrew, Arab, Parsi dan Latin) pada ketika berumur 21 tahun. Seorang pemimpin yang hebat, warak dan tawaduk selepas Sultan Salahuddin Al-Ayubbi (pahlawan Islam dalam Perang Salib) dan Sultan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz (pahlawan Islam dalam peperangan di Ain Jalut menentang tentera Mongol). Malah sifat-sifat baginda dan tenteranya telah diisyaratkan oleh Rasulullah S.A.W:

"Constantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera"

Kelebihan Muhammad al-Fatih mengikut sejarah

Seorang Sahabat Rasullullah S.A.W, Abu Ayub Al Ansari pernah mengikuti ekspidisi perang menentang tentera Rom di Constantinople ketika di zaman kerajaan Bani Umaiyyah. Beliau ingin jasadnya dikuburkan di tembok Constantinople dan ketika ditanya mengapa beliau ingin dikuburkan ditembok tersebut, beliau berkata kepada panglima Bani Umaiyah:

"Aku mendengar baginda Rasulullah S.A.W mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut & aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda."

Jasa dan sumbangan

Kejayaan baginda dalam menewaskan tentera salib menyebabkan ramai kawan dan lawan kagum dengan kepimpinan beliau serta taktik & strategi peperangannya yang dikatakan mendahului pada zamannya dan juga kaedah pemilihan tenteranya. Baginda merupakan anak didik Syeikh Syamsuddin yang mana merupakan keturunan Abu Bakar As-Siddiq.

Antara sumbangan baginda adalah menakluk Constantinople yang juga menyebabkan berakhirnya Empayar Byzantine. Baginda jugalah yang menukar nama Constantinople kepada Islambol (Islam keseluruhannya). Kini nama tersebut telah ditukar oleh Mustafa Kamal Ataturk kepada Istanbul. Di atas jasanya, Masjid Al Fatih telah dibina bersebelahan makamnya.

Diceritakan bahawa para tentera Sultan Muhammad Al Fatih tidak pernah meninggalkan solat wajib sejak baligh & separuh dari mereka tidak pernah meninggalkan solat tahajud sejak baligh. Hanya Sultan Muhammad Al Fatih sajalah yang tidak pernah meninggalkan solat wajib, tahajud & rawatib sejak baligh hinggalah ke saat baginda meninggal dunia.

Jadi sahabat-sahabat, cuba kita renungkan kembali, apa yang sudah kita lakukan demi islam? Tatkala Sultan Muhammad Al-Fatih sudah menakluki kota Constantinople pada usia 21 tahun, apa yang kita sudah buat untuk islam pada usia kita sekarang ini? Saya tinggalkan persoalan ini untuk kita sama-sama muhasabah diri demi keizzahan islam.

Jumpa lagi di lain entry. Terima kasih kerana membaca sehingga ke saat ini.

Sekian,
Ahmad Bashier
Bendahari PMIUM

Monday, May 16, 2011

Selamat Hari Guru Buat Semua Guru Di Malaysia



Ditujukan khas terutamanya guru-guru ku di SK Tok Jiring (Terengganu), SK Islah (Kelantan),SK Seksyen 7 Sg Buloh, SAR As-Sahabah, SK Seksyen 6 Kota Damansara, SMI Al-Faizeen, SMK Seksyen 4 Kota Damansara (Selangor), MRSM Pasir Salak (Perak), Institut Generasi (KL), Kolej Mara Kuala Nerang (Kedah) dan Universiti Malaya (KL).

p/s: OOps, juga tidak lupa kepada kedua ibu dan bapaku, SELAMAT HARI GURU. =)

Selamat Hari Guru,
Ahmad Bashier

Sunday, May 15, 2011

Selamat Bercuti Buat Semua Mahasiswa

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada seluruh mahasiswa dan para pembaca yang dihormati dan disayangi.Genap satu semester memikul tanggungjawab selaku mahasiswa untuk menuntut ilmu kini setelah tamat menghadapi peperiksaan pasti anda memikirkan dan tidak sabar untuk kembali pulang ke pangkuan keluarga.

Satu lumrah kehidupan rasa cinta dan kasih sayang kepada keluarga setelah berpisah buat seketika demi mengutip mutiara ilmu di medan yang tiada sempadan.Perjalanan hidup ini pasti akan diuji oleh tuhan yang menciptakan makhlukNya untuk melihat tahap kesabaran dan keimanan makhluknya.

Sepanjang cuti semester ini ambillah peluang dan ruang ini untuk kita sama-sama memperbaiki perhubungan dengan keluarga.Yang pastinya berbuat baik kepada ibu bapa.Bukannya cuti ini membuatkan kita menjadi raja di rumah sebaliknya kita berbakti dan memberikan contoh tauladan kepada ahli keluarga.

Justeru , kami daripada PMIUM mendoakan kebaikan dan kesejahteraan anda sekeluarga sentiasa berada dalam rahmat Allah serta diberikan kesihatan yang baik.Amin.Penuhilah hari-hari cuti anda dengan mengadakan aktiviti yang berfaedah.-Pmium

Jom Tempah Bersama PMIUM


Assalamualaikum dan selamat sejahtera, buat semua yang ingin lakukan tempahan banner dan bunting, ini merupakan peluang yang baik untuk anda kerana PMIUM menawarkan perkhidmatan tersebut. Maklumat lanjut sila lihat di poster di bawah:




Bersama Menerajui Perubahan,
Ahmad Bashier
Bendahari PMIUM


Jom Hantarkan Karya Kepada PMIUM

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada seluruh mahasiswa dan pembaca setia laman web rasmi PMIUM yang dikasihi dan dihormati.Pihak admin menawarkan kepada anda yang mahu kiriman artikel , surat dan respon dipaparkan di laman web ini.

Kepada para pembaca boleh hantarkan karya-karya anda ke email PMIUM iaitu pmium09@gmail.com.Karya yang anda hantar akan segera kami terbitkan.Apa tunggu lagi sekiranya anda ingin kongsikan karya-karya anda kepada para pembaca.Silalah berbuat segera.-PMIUM

Berita Penting Untuk Mahasiswa UM

p/s: Cuti-cuti juga tetapi jangan lupa dengan tarikh yang tentera di atas ya ^^

Konvensyen Mahasiswa Selangor

Tentatif Program:

SESI PAGI
8.00 pagi: Pendaftaran dan Sarapan pagi
9.00 pagi :Modul Teambuilding I (Ice Breaking)
11.00 pagi : Presentation I “Realiti di Malaysia” Oleh Ben
11.20 pagi : Presentation II Oleh Dr.Abu Hassan
11.40 pagi : 2 Ways Communication

SESI PETANG
2.30 petang: Modul Teambuilding II
4.30 petang: Tea Break & Solat Asar
5.15 petang: Movie Critic
6.00 petang: In Person with Prof.Dr Muhaya Muhamad (Tokoh Ilmuwan Selangor)
7.15 petang: Break dan Solat Maghrib

SESI MALAM
8.30 malam: Ketibaan Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor
8.35 malam: Ucapan Aluan Penasihat MPMS
8.45 malam: Montage
8.50 malam: Sesi Dialog dengan Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor
10.30 malam: Bersurai

p/s: Bagi mereka yang mempunyai kelapangan waktu ketika cuti ini, jom sama-sama kita sertai program ini ^^

Sekian,
Ahmad Bashier

Jom Tegakkan Kebenaran

2 KISAH DALAM PEPERANGAN KHAIBAR YANG PERLU DIJADIKAN PENGAJARAN

Perang Khaibar adalah perang dimana Rasulullah dan sahabat menentang yahudi yang berpangkalan di Khaibar selepas mereka dihalau dari Madinah. Peperangan ini merekodkan banyak perkara penting dalam sejarah umat islam. Di dalam perang inilah bermulanya larangan memakan daging haiwan peliharaan, dan juga diharamkan nikah mut’ah untuk menguji kekuatan jiwa tentera islam melawan hawa nafsu di saat-saat sukar. Melalui perang ini jugalah berlakunya turning point kepada ekonomi umat islam sebagaimana kata Aishah r.a,”Sekarang, kami kenyang kerana dapat makan terus-menerus”. Ibnu Umar pula berkata,”kami tidak pernah kenyang sehingga kami berjaya menakluk Khaibar”.

Dalam himpunan kisah-kisah dalam peperangan ini, terdapat dua kisah menarik yang boleh diambil iktibar oleh umat islam khususnya bagi mereka yang mula memahami islam dan meletakkan diri dalam saf-saf dakwah.

KISAH PENGEMBALA YAHUDI

Sewaktu Rasulullah sedang mengepung salah satu dari benteng Khaibar, datang seorang pengembala Yahudi yang dikenali sebagai al-Aswad kepada Rasulullah lalu berkata,”terangkan kepadaku tentang islam”. Rasulullah terus menerangkan kepadanya dan sebaik sahaja mendengar penerangan dari Rasulullah, al-Aswad lantas menyatakan keislamannya.

Setelah itu, dia bertanya kepada Rasulullah, apa yang perlu dilakukan kepada kambing-kambing yahudi yang digembalanya. Rasulullah menyuruhnya memukul pada muka-muka haiwan tersebut. Al-Aswad mengambil batu kerikil lalu melempar ke muka kambing-kambing itu sambil berkata,”pulanglah kepada tuanmu. Aku tidak mahu lagi menjaga kamu selama-lamanya”. Kambing-kambing itu masuk ke dalam benteng-benteng Khaibar seperti ada yang memandu mereka.

Selang beberapa ketika, al-Aswad bergabung dalam tentera islam dan terus menghampiri benteng Khaibar. Malangnya, beliau tertimba batu lalu gugur di situ. Jenazahnya ditutup dan diletakkan di belakng Rasulullah dan baginda berkenan untuk melihatnya. Namun, tiba-tiba Rasulullah berpaling lalu sahabat hairan lantas bertanya,”Ya Rasulullah, mengapa tuan berpaling?” Rasulullah pun menjawab,”Sesungguhnya, dia sedang ditunggu oleh dua isterinya, bidadari di syurga”.

KISAH HAMBA RASULULLAH

Mud’im merupakan hamba yang dihadiahkan oleh Rifaah bin Zaid kepada Rasulullah. Ketika Rasulullah dan sahabat, termasuk Mud’im sedang mencari-cari tempat untuk meletak barang, mereka telah diserang oleh anak-anak panah yahudi. Walaupun tentera islam berjaya mematahkan serangan tersebut, malang bagi Mud’im kerana dia terkena panah lalu mati di situ.

Para sahabat yang menyaksikan peristiwa itu berkata,”beruntunglah dia kerana beroleh syurga”. Rasulullah membantah dengan bersabda,”tidak, sesungguhnya, selimut yang dicurinya(antara harta rampasan perang yang belum dibahagikan) akan membakarnya di neraka. Sahabat-sahabat menggeledah barang hamba tersebut lalu menemui tali selipar. “Ini tali selipar dari neraka”, ujar Rasulullah.

PENGAJARAN DARI PEPERANGAN KHAIBAR

Begitulah dua buah kisah yang cukup ironis pengakhirannya. Seorang hamba yahudi memperoleh syahid walaupun baru memeluk islam dan tidak penah sekalipun solat seumur hidupnya! Manakala seorang lagi, walaupun sudah lama memeluk islam, bahkan sentiasa mendampingi Rasulullah, dimasukkan ke dalam neraka kerana mengingkari perintah Rasulullah dengan mencuri harta rampasan perang yang belum dibahagi-bahagikan.

Dua kisah ini menunjukkan kepada kita bahawa ketaqwaan seseorang bukanlah diukur melalui senioriti atau berapa lama kita berada di jalan ini. Walaupun kita sudah lama menceburkan diri dalam arena dakwah dan tarbiyah, tidak semestinya kita lebih hebat dari mereka yang baru berjinak-jinak dengan dakwah dan tarbiyah. Semoga kisah ini dapat memberi semangat kepada mereka yang baru dalam dakwah agar tidak malu untuk memberi sumbangan dan bergerak kehadapan, juga kepada mereka yang telah lama supaya terus bergerak dan tidak lalai seterusnya, mati kita nanti juga, adalah mati dalam jalan dakwah.

Ingatlah, senioriti bukanlah ukuran dalam dakwah!

Sekian,
Ahmad Bashier

Saturday, May 14, 2011

Tahniah Manchester United


LONDON: Keputusan seri 1-1 dengan Blackburn Rovers sebentar tadi sudah mencukupi buat Manchester United dinobatkan juara Liga Perdana Inggeris untuk rekod kali ke-19. United yang hanya memerlukan satu mata untuk dua baki perlawanan liga musim ini, nyata menjadi kenyataan bagi menepis saingan Chelsea di kedudukan kedua liga.

Blackburn bagaimanapun mengejutkan United pada minit ke-23 menerusi jaringan Brett Emerton' tetapi Javier Hernandez dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-74.

Pengadil yang memberikan penalti dan ia disudahi kemas Wayne Rooney.

Sumber: Berita Harian

FESKUM 2011 Kembali Lagi


Assalamualaikum dan selamat sejahtera, semoga anda semua berada dalam keadaan yang sihat selalu. Baiklah, pada kali ini saya hanya ingin berkongsi sedikit sahaja berkaitan dengan Festival Konvokesyen 2011 yang akan diadakan pada bulan Oktober ini insyaallah.

Alhamdulillah, untuk FESKUM 2011 pada kali ini, saya ditaklifkan sebagai Timbalan Pengarah 3. Bagi mereka yang berminat untuk menjadi tenaga pelaksana FESKUM 2011, anda boleh menghubungi saya dengan segera. Antara unit yang ada nanti adalah unit program, gerai, pameran, teknikal, tajaan, publisiti, perhubungan awam, logistik, dan unit protokol.

Saya pasti bagi mereka yang menyertai FESKUM 2011 pada kali ini akan mendapat pengalaman baru dalam hidup mereka. Jadi, inilah peluang yang baik untuk siswa/i menyertai FESKUM 2011.

Akhir kata, selamat bercuti kepada semua mahasiswa/i. Nah, hadiah daripada kami untuk anda semua:

Sekian,
Ahmad Bashier
Timbalan Pengarah 3 FESKUM 2011

Tuesday, May 10, 2011

Cuti 4 Bulan Apa Nak Buat?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera, semoga anda semua berada dalam keadaan yang sihat.

Alhamdulillah, pada hari ini saya ingin berkongsi 4 perkara yang boleh kita lakukan ketika cuti 4 bulan ni terutamanya kepada siswa/i di IPTA iaitu:

a) Ambil lesen memandu
Bagi mereka yang belum mempunyai lesen motor atau kereta, cutilah masa yang terbaik untuk belajar memandu kenderaan tersebut. Saya pasti kemahiran memandu merupakan kemahiran wajib yang perlu ada pada setiap rakyat Malaysia.


b) Melancong

Bagi mereka yang sudah berusaha dengan baik dalam peperiksaan akhir sem ini, cutilah merupakan masa yang paling sesuai untuk kita bercuti bersama keluarga atau pun rakan-rakan. Cuti juga masa yang terbaik untuk kita eratkan balik ukhuwwah antara keluarga kita. Pergilah ke mana-mana tempat yang dirasakan sesuai untuk 'recharge' balik tenaga anda.

c) Banyakkan membaca

Pujangga melayu ada mengatakan 'membaca itu jambatan ilmu'. Bagi kita sebagai seorang siswa, kita perlu pacakkan yang diri kita ini merupakan pemimpin. Mahu tidak mahu, kita perlu rajin membaca untuk menambahkan lagi ilmu di dada dan informasi yang ada dalam diri kita. Bayangkan kalau cuti 4 bulan ini anda mampu untuk menghabiskan banyak buku, tentu pengetahuan anda juga akan bertambah.

d) Berbisnes
Bagi mereka yang sukakan cabaran, berbisnes merupakan aktiviti yang menyeronokkan. Bagi mahasiswa, ini juga merupakan kemahiran yang perlu ada dalam diri masing-masing iaitu berbisnes untuk mengukuhkan lagi ekonomi diri, menambah pengalaman dan menjana pendapatan yang berterusan. Saya cabar mana-mana mahasiswa yang mampu berbisnes untuk berbisnes dan menghasilkan keuntungan 4 atau 5 angka sebulan.

Rasanya itu sahaja daripada saya. Kita jumpa lagi di lain entry.

Sekian,
Ahmad Bashier

Sunday, May 8, 2011

Selamat Hari Ibu Daripada PMIUM



Daripada:
Ahmad Bashier
Bendahari PMIUM

Thursday, May 5, 2011

Selamat Berjuang Buat Semua


Ikhlas daripada,
Ahmad Bashier
Bendahari PMIUM