Rakan-Rakan Followers

Wednesday, February 2, 2011

Melayu masih perlu bantuan bersaing bangsa lain

KUALA LUMPUR: Masyarakat Melayu di negara ini masih memerlukan ‘tongkat’ ataupun bantuan kerajaan untuk bersaing dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain bagi mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata walaupun ada segelintir orang Melayu mahu ‘tongkat’ dihapuskan dan tidak mahu bergantung terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB), pada hakikatnya Melayu masih ‘tempang’.

Katanya, lebih malang jika golongan Melayu yang mahu menghapuskan ‘tongkat’ itu sedia bergantung kepada orang lain untuk mencapai sesuatu kejayaan diimpikannya.
“Orang Melayu perlu menggunakan tongkat (bantuan) yang disediakan kerajaan untuk melahirkan lebih ramai cerdik pandai, untuk jadi kuat dan kaya. Kita boleh tolak tongkat selepas boleh berdiri atas kaki sendiri.

“Jika kita bergantung kepada orang lain, maka kita akan duduk di bawah pemerintahan mereka dan akan kehilangan kuasa walaupun orang Melayu menjadi Perdana Menteri,” katanya berucap pada wacana ‘Bangsa Melayu dan Masa Depannya’ di sini, semalam.

Program anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) itu turut dihadiri Pemangku Presiden MUBARAK, Datuk Seri Abdul Aziz Rahman.

Dr Mahathir berkata, perpecahan dikalangan orang Melayu juga mengakibatkan kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu kini menjadi semakin lemah dan tidak boleh bertegas.
Katanya, lebih malang parti politik yang dipimpin pakatan pembangkang hari ini termasuk PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak pernah serius memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Sebaliknya, kewujudan parti ini mengakibatkan perpecahan di kalangan orang Melayu semakin parah dan UMNO juga perlu melakukan pembaharuan selepas lebih 50 tahun mentadbir negara.


Ulasan: Saya bersetuju dengan pandangan sedemikian. Orang melayu, bangkitlah wahai kaumku. Kita buktikan kepada bangsa lain yang kita BOLEH!!