Rakan-Rakan Followers

Monday, December 27, 2010

Alangkah Indahnya

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
semoga anda semua berada dalam keadaan yang sihat sentiasa.

Jom layan harapan saya untuk tahun 2011 yang akan menjelma tidak lama lagi:

a) Alangkah indahnya jika mahasiswa dan mahasiswi dapat dikurangkan kos pengajian mereka ataupun diberikan pendidikan percuma di IPTA. Paling tidak pun, kalau kerajaan prihatin, berikan potongan sebanyak 50% untuk siswa dan siswi belajar di IPTA.

b) Alangkah indahnya kalau buku-buku yang digunakan oleh kami siswa dan siswi di IPTA diberikan diskaun sehingga 70%. Hal ini bagi memudahkan siswa siswi membeli lebih banyak buku untuk memantapkan kefahaman mereka dalam sesuatu subjek.

c) Alangkah indahnya siswa dan siswi diberikan subsidi untuk membeli laptop atau komputer riba. Hal ini untuk memudahkan siswa dan siswi menaip tugasan mereka dengan lebih efisien.

d) Alangkah indahnya jika kerajaan memberikan broadband secara percuma kepada setiap siswa dan siswi di IPTA. Hal ini sebagai tanda penghargaan mereka atas kejayaan melanjutkan pelajaran ke IPTA.

e) Alangkah indahnya kalau yuran kolej-kolej kediaman dimurahkan lagi. Bagi mahasiswa/i luar kampus, pihak universiti menanggung sebahagian yuran sewa tersebut. Sebahagian lagi kami yang bayar :-)

f) Alangkah indahnya sekiranya kerajaan memperuntukkan wang yang banyak untuk pimpinan mahasiswa/i seperti Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) , Persatuan Anak Negeri, Kolej-kolej Kediaman dan persatuan independen yang lain untuk aktiviti-aktiviti dakwah, tarbiyah, siasah, keusahawanan dan intelektual di setiap kampus.

g) Alangkah indahnya kalau setiap cadangan yang dikemukakan ini berjaya direalisasikan. Bukan mustahil untuk direalitikan sekiranya setiap mahasiswa dan mahasiswi di setiap kampus bersatu padu untuk memperjuangkan hak-hak mereka.

Bagaimana pula caranya:

Mungkin cadangan saya ini akan mengundang perdebatan oleh banyak pihak tetapi ini merupakan cadangan-cadangan yang saya boleh kemukakan kepada pihak kerajaan dan pentadbiran universiti:

a) Membatalkan hasrat membina menara warisan setinggi 100 tingkat yang bernilai RM5 Billion. Wang tersebut boleh digunakan untuk pembangunan modal insan seperti kami ini :-)

b) Menolak penswataan yang membebankan. Kerajaan perlu merunding semula konsistensi dan kontrak yang bersifat menguntungkan kroni dan tidak adil kepada rakyat termasuk yang melibatkan (Pengeluar Tenaga Bebas)IPP, tol lebuhraya dan prasarana air.

c) Melaksanakan sistem cukai progresif serta menolak sebarang cukai yang membebankan rakyat termasuklah cadangan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehinggalah rakyat serta negara bersedia.

d) Menyiasat ketirisan dan penyelewangan yang dilakukan oleh kroni-kroni mereka berbillion ringgit setiap tahun. Tangkap juga jerung-jerung yang besar, sederhana dan kecil yang menggunakan duit rakyat semata-mata demi rasuah yang dilakukan.

Rasanya itu sahaja cadangan saya untuk kerajaan untuk tahun 2011 ini. Tidak kiralah sama ada kerajaan tersebut adalah kerajaan daripada Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, kerajaan yang memerintah perlu memastikan segala perbelanjaan dan tindak tanduk mereka perlulah dilakukan dengan cara yang berhemah, mengikut syara' dan halal. Tahun 2011 mungkin akan mencipta satu lagi sejarah dalam mengubah landskap politik tanah air kerana Pilihan Raya Umum (PRU) yang ketiga belas akan berlangsung dan saya pasti mahasiswa/i di setiap kampus akan menjadikan tahun tersebut sebagai titik tolak kepada kebangkitan mahasiswa/i. Ingat kata-kata ini: "2011 TAHUN KEBANGKITAN MAHASISWA!!!".

Jumpa lagi di lain artikel. Sekiranya artikel ini menyinggung mana-mana pihak, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf. Yosh!!

Sekian,
Mahasiswa Tahap Pertengahan Universiti Malaya (UM)