Rakan-Rakan Followers

Wednesday, December 22, 2010

Pembabitan mahasiswa dalam bidang perniagaan masih kecil

KUALA LUMPUR Dis – Kementerian Pengajian Tinggi mahu lebih ramai penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menceburi bidang keusahawanan kerana kurang daripada lima peratus menceburi bidang itu sejurus tamat pengajian.

Sehubungan itu, menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akan memperkasakan lagi usaha melalui Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi bagi memantapkan pembangunan keusahawan yang lebih terancang dan holistik di IPT tempatan.

“Pembabitan mereka dalam dunia keusahawanan amat kecil dan tidak ramai antara mereka memilih bidang berkenaan sebagai kerjaya pilihan.

“Justeru, enam teras dasar berkenaan seperti menubuhkan Pusat Keusahawan di setiap IPT, memantapkan program pembangunan dan pengukuhan keusahawanan diharap dapat memantapkan setiap program keusahawan yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penutup Pertandingan Perniagaan Malaysia Antara Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2010 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementeriannya, Abdul Rahim Md. Noor.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Datuk Dr. Abdul Hakim Juri dan Ketua Pusat Keusahawanan Siswa (UniKL), Bahtiar Kasbi.

Pertandingan yang bertemakan ‘Cabaran sebenar perniagaan 2010′ berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam.

Pertandingan yang pertama kali diadakan itu disertai oleh 490 mahasiswa daripada 98 kumpulan IPT seluruh negara.

Ia bertujuan melahirkan golongan usahawan di kalangan mahasiswa universiti serta memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai perniagaan.

Pertandingan anjuran Universiti Kuala Lumpur dan Koperasi Siswa UniKL Malaysia Berhad itu dimenangi oleh kumpulan USMEC daripada Universiti Sains Malaysia (USM) yang menggondol wang tunai RM10,000 beserta sijil penyertaan dan Piala Pusingan Menteri Pengajian Tinggi.

Tempat kedua dimenangi kumpulan MITEC daripada UniKL yang mendapat wang tunai RM7,000 beserta sijil penyertaan dan tempat ketiga dimenangi oleh Tiara Enterprise dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang membawa pulang RM3,000 beserta sijil penyertaan.

Sementara itu, pada sidang akhbar, Abdul Rahim berkata, golongan mahasiswa kurang berminat menceburi bidang keusahawanan kerana tidak mempunyai banyak pengalaman dan pendedahan terhadap kerjaya berkenaan.

“Kita perlu membudayakan mereka dengan pemasaran dan keusahawanan bukan saja di dalam kampus tetapi di luar kampus.

“Justeru, kita perlu memberi pendedahan terus kepada pelajar mengenai dunia keusahawanan yang merangkumi aspek pemasaran dan daftar perniagaan,” katanya.

Majlis penutup pertandingan yang julung-julung kali diadakan turut disertai oleh wakil dari DPMM Pusat iaitu Dato’ Mohd Noor Ali Akbar bagi membuktikan komitmen Dewan Perniagaan Melayu Malaysia menyokong saranan Kementerian Pengajian Tinggi mewakili kerajaan bagi menyediakan siswazah yang mampu memperolehi pendapatan tinggi sesuai dengan dasar kerajaan didalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) melahirkan rakyat yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Sumber : Utusan Malaysia