Rakan-Rakan Followers

Tuesday, January 25, 2011

Kisah Motivasi

PENGURUSAN masa secara sistematik adalah kunci kejayaan pelajar program Matrikulasi Australia Selatan (SAM), Mohammad Aiman Mohd Rosli, 20.

Pencapaian itu menjadikannya seorang daripada 1,158 pelajar terbaik Kolej Taylor’s yang menduduki program berkenaan tahun lalu.

Mohammad Aiman berkata, tiada rahsia kejayaan selain belajar bersungguh-sungguh, pembahagian masa antara belajar dan kokurikulum juga perlu seimbang. “Kejayaan ini adalah berkat motivasi dan tunjuk ajar ayah yang banyak memberi dorongan dan semangat untuk belajar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah SAM yang dihadiri Pesuruhjaya Perdagangan Suruhanjaya Tinggi Australia, Ms Chau Duncan, di Subang Jaya, baru-baru ini.

Mohammad Aiman berkata, dia gemar menghadiri majlis keraian kerana baginya aktiviti sosial itu memberi peluang mendapat kenalan baru selain mematangkan fikiran.

Pemegang biasiswa Sime Darby itu memperoleh pencapaian Taraf Penerimaan Pendidikan Tinggi Australia atau `Australian Tertiary Admission Rank’ (ATAR) 99.10. Pencapaian itu dikategorikan dalam satu peratus terbaik menandingi 99 peratus pelajar lain.

Kejayaan itu melayakkannya menerima Sijil Merit anugerah markah penuh dalam Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (ESL).
Pengalaman belajar di kolej katanya, begitu menyeronokkan dan meninggalkan kenangan manis dalam hidupnya.

“Walaupun tempoh pengajian agak singkat, saya gembira belajar kerana berpeluang bergaul dengan pelajar daripada pelbagai kaum. Sokongan padu tenaga pengajar juga antara faktor kejayaan,” katanya.

Bapanya, Mohd Rosli Hainin, 43, berkata dia bersyukur anaknya mendapat kemudahan pendidikan berkualiti di kolej berkenaan.

“Kejayaan ini diharap menjadi contoh kepada adik-adiknya yang masih bersekolah dan memotivasikan mereka supaya belajar bersungguh-sungguh” katanya.

Sumber: Berita Harian