Hulu Langat, 22.5 : Suasana sayu menyelubungi sekitar Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah Batu 14 bagi menunaikan solat jenazah sebelum dikebumikan selepas Zohor.
Kesemua tujuh jenazah kanak-kanak mangsa tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim Malaysia Madrasah Al-Taqwa di Batu14, Hulu Langat, akan dikebumikan dalam satu liang di tanah perkuburan orang IslamDusun Naning pada pukul 2 petang ini.
Terdahulu lima mayat kanak-kanak iaitu Mohd Azret Azahari, 8; Mohd Zaid Azahari, 14; Mohd Imal Fahad, 9; Mohd Mustakim Mamat, 12 dan Wan Ahmad Hasrim Hazim, 11 sampai di masjid sekitar pukul 10.45 pagi.

Pembantu rumah anak-anak yatim berkenaan, Yazid Ishak ketika ditemui berkata baki sembilan lagi mayat yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh telah dituntut oleh waris masing-masing untuk diurus dan dikebumikan.
“Di sini kita akan solat dan kebumikan tujuh jenazah secara bersama…jenazah-jenazah lain sudahpun dituntut waris mereka,” katanya.
Hingga berita ini ditulis, waris tujuh mangsa berkenaan diberi pelung terakhir untuk melihat jenazah sebelum ditutup untuk disolat dan dikebumikan.
Kira-kira 500 orang awam termasuk waris mangsa berada di sekitar kawasan masjid.
Sumber : BERNAMA
p/s: Marilah kita hadiahkan Al-Fatihah buat teman-teman kita. Al-Fatihah~~