Rakan-Rakan Followers

Monday, August 16, 2010

Sedikit Coretan Berkaitan CDN

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya.

Baiklah, pada hari ini saya ingin berkongsi dengan anda berkenaan dengan pengalaman saya mengurus salah satu program Persatuan Mahasiswa Kelantan UM iaitu Citarasa Darul Naim.

Berikut, merupakan butiran berkaitan dengan program ini:
Tarikh: 2 hingga 7 Ogos 2010
Masa: 8pagi hingga 11.30 malam
Tempat: Gerai Nombor 16, Tapak Konvo
Menu Utama: Nasi Kerabu
Menu Sampingan: Masakan Panas
Minuman Special: Bandung Arab, Jagung Dangdut
Minuman Lain: Jus Buah-Buahan, Minuman Panas dan Sejuk

Buat julung kalinya, Festival Konvokesyen Universiti Malaya (FESKUM 2010) menampilkan konsep foodcourt untuk gerai makanan dan minuman. Jadi, mahu tidak mahu, PMKUM beserta dengan persatuan yang lain seperti PMIUM, Permadah, Pemarak serta kolej-kolej kediaman perlu menerima konsep foodcourt ini dengan hati yang terbuka.

Ok, itu serba sedikit berkaitan dengan konsep gerai FESKUM 2010. Seterusnya, untuk CDN kali ini saya telah memecahkan unit makanan dan minuman menjadi 2 unit yang berbeza. Jika dahulu unit makanan dan minuman dalam satu unit. Untuk CDN kali ini, unit makanan dan unit minuman dipecahkan kepada dua dan kedua-dua unit tersebut mempunyai 2 orang ketua yang berbeza. Ini bagi memudahkan gerak kerja masing-masing.

Untuk unit makanan pula, ianya terbahagi kepada dua iaitu unit masakan nasi kerabu dan unit masakan panas. Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan 3 orang chef/ tukang masak yang berpengalaman dari unit masakan nasi kerabu dan 3 orang lagi dari unit masakan panas menjadikan keseluruhannya 6 orang tukang masak daripada unit makanan sahaja.

Untuk pengetahuan semua, tukang masak tersebut bukanlah tukang masak sembarangan. Sebaliknya, tukang masak yang betul-betul berpengalaman dan boleh dikatakan mahir dalam bidang masing-masing. Mereka telah terlibat beberapa kali untuk CDN yang lepas. Jika dahulu, kami mengupah tukang masak daripada luar, kini semua keenam-enam tukang masak tersebut adalah gabungan ahli-ahli PMKUM dan mantan-mantan yang lepas. Ini merupakan satu strategi yang baik untuk mengurangkan kos mengupah tukang masak daripada luar.

Ok, cukup untuk unit makanan, seterusnya kita pergi pula kepada unit minuman. Untuk unit minuman, kami telah mengekalkan minuman special kami iaitu Bandung Arab dan Jagung Dangdut dan dua minuman ini menjadi daya tarikan yang kuat untuk orang lain datang ke gerai kami. Dari segi tenaga kerja pula, terdapat beberapa orang yang boleh diharapkan untuk membuat air. Saya juga mendapati persaingan untuk jus buah-buahan dan minuman panas yang lain sangat kurang jika hendak dibandingkan dengan gerai-gerai yang lain. Ini juga merupakan satu kelebihan kepada kami.

Seterusnya, kita beralih pula kepada unit peralatan. Untuk peralatan pula seperti khemah tambahan, pinggan mangkuk, meja, dapur, periuk nasi elektrik dan gas semuanya dipinjam sama ada daripada kenalan rapat PMKUM mahupun daripada masjid. Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan kesemua barang yang kami perlukan sehari sebelum CDN berlangsung. Ini juga merupakan satu strategi yang baik kerana sebelum ini untuk CDN yang lepas, saya dikhabarkan kita menyewa dan bukannya meminjam. Tetapi kali ini, semua peralatan dipinjam. Walaubagaimanapun, kami juga ada memberi sedikit sumbangan kepada pihak yang memberi kami peluang untuk meminjam peralatan. :-)

Baiklah, kita beralih kepada unit publisiti. Untuk publisiti, kami telah menggunakan kedua-dua medium iaitu medium online dan juga offline. Hal ini menyebabkan kedatangan pengunjung ke gerai CDN PMKUM agak memuaskan. Seperti biasa, facebook merupakan cara paling berkesan bagi kami untuk mewar-warkan segala gerak kerja kami dan segala maklumat berkaitan dengan CDN. Anda boleh melihatnya di sini: http://www.facebook.com/CDN2010 . Selain itu, facebook PMKUM, YM serta blog juga menyumbang kepada kejayaan CDN pada kali ini. Tidak lupa juga banner, bunting, poster dan handbill juga menjadi sumber pemasaran kami pada kali ini. Boleh dikatakan gabungan pemasaran online dan offline ini membuatkan fenomena nasi kerabu menjadi antara fenomena paling menyerlah untuk CDN dan Feskum kali ini.

Disamping itu, unit protokol juga memainkan peranan yang penting terutamanya dari segi susun atur gerai tersebut. Walaupun menggunakan konsep foodcourt, namun kami juga telah menyediakan inisiatif lain iaitu dengan menyediakan sendiri meja di dalam gerai kami. Keadaan ini menyebabkan lebih ramai pengunjung datang ke gerai kami kerana mereka merasakan lebih selesa berada di gerai jika dibandingkan dengan duduk di foodcourt. Susun atur kaunter bayaran, tempat makanan diletakkan serta meja makan semuanya disusun dan dirancang dengan baik oleh unit ini.

Ada dua lagi unit yang penting untuk CDN kali ini iaitu unit pengangkutan serta unit tugas-tugas khas. Untuk pengangkutan, kami telah berjaya mendapatkan van dengan kadar bayaran yang lebih murah jika hendak dibandingkan dengan kadar sewa van sebelum ini. Saya boleh katakan kadar van tersebut lebih murah jika hendak dibandingkan dengan menyewa kereta kancil. Ini strategi kami seterusnya apabila ada di antara saudara kepada exco PMKUM sendiri yang sudi untuk memberi peluang kepada kami untuk menyewa van tersebut dengan kadar yang sangat-sangat berpatutan. Unit pengangkutan juga memainkan peranan yang sangat penting terutamanya ketika membawa dan menghantar adik-adik PMKUM a.k.a tenaga kerja PMKUM.

Selain itu, unit pengangkutan juga memainkan peranan penting untuk membeli bahan-bahan mentah. Mereka bekerjasama rapat dengan unit tugas-tugas khas. Biasanya sekiranya barang kehabisan, unit TTK inilah yang akan berhempas pulas untuk pergi membeli barang-barang untuk memastikan CDN kali ini berjalan dengan lancar. Banyak lagi sebenarnya peranan unit TTK ini bukan setakat pergi beli barang malahan lebih daripada itu. Contohnya, membasuh pinggan, berjaga malam di gerai dan mengutip pinggan mangkuk di foodcourt.

Itu cerita berkaitan dengan unit dalam CDN kali ini. Sekarang saya ingin berkongsi beberapa perkara lagi. Saya ringkaskan dalam bentuk point:

a) Setiap hari pada pukul 11.30 malam post mortem akan dilakukan untuk memastikan bahawa segala kelemahan dapat diperbaiki dan segala kekuatan dapat dikekalkan.

b) Saya juga mewujudkan satu polisi yang perlu diikuti oleh semua tenaga kerja untuk CDN kali ini. Polisi tersebut mempunyai 2 jenis polisi iaitu yang pertama polisi umum dan yang kedua polisi unit.

c) Sempena CDN kali ini, kami mengadakan satu majlis yang mengabungkan 3 program serentak iaitu Program Perasmian CDN, Program Bersama Graduan serta Program Interaksi Darul Naim. Gabungan 3 program ini dinamakan Malam Mesra PMKUM.

d) CDN kali ini juga memperlihatkan gabungan muka baru (ahli baru PMKUM), muka lama( ahli lama PMKUM dan exco-exco) serta mantan-mantan yang lepas. Walaupun masing-masing ada kuliah, tutorial dan sebagainya, tetapi mereka tetap menyumbang kepada kecemerlangan CDN pada kali ini. Mereka tetap datang ke gerai CDN walaupun sebentar untuk menolong apa yang patut.

e) Berkaitan dengan kebajikan ahli, kami menyediakan air percuma untuk setiap ahli yang bertugas. Selain itu, kami juga memberi potongan sebanyak 50% sekiranya ahli mahu membeli makanan di gerai tersebut. Kami juga meraikan semua tenaga kerja CDN pada hari pertama dan pada hari terakhir dengan mengadakan jamuan untuk mereka. Kebajikan ahli menjadi antara fokus saya sempena CDN kali ini.

f) Sebelum CDN berlangsung, kami sebenarnya telah mengadakan satu program dinamakan Iron Chef Nasi Kerabu CDN 2010 di Kelantan. Alhamdulillah, sepanjang Iron Chef Nasi Kerabu CDN 2010 berlangsung, kami tahu macam mana mahu menyediakan nasi kerabu yang betul-betul dinanti-nantikan oleh orang ramai.

g) Ramai yang memuji dan mengatakan nasi kerabu kami ini sangat sedap untuk CDN kali ini. Malahan, kami mendapat ramai return customer yang setiap hari akan singgah ke gerai CDN semata-mata mahu makan nasi kerabu biru CDN 2010. Oh, betapa uniknya nasi kerabu kami. :-)

h) Saya juga menekankan betapa pentingnya setiap tenaga kerja memperbetulkan niat sepanjang CDN berlangsung. Penekanan niat ikhlas kerana Allah menjadikan setiap tenaga kerja tahu dan cakna akan hal ini. Selain itu, kami juga membawa imej kerajaan negeri kami iaitu Kerajaan Negeri Kelantan. Jadi, kami perlu menjaga imej bersih kerajaan negeri tersebut daripada dipertikaikan oleh pihak-pihak lain. Alhamdulillah, semua adik beradik tenaga kerja CDN memahami perkara ini.

Rasanya cukup setakat itu sahaja perkongsian saya untuk kali ini. Insyallah jika diberi kesempatan, saya akan berkongsi dengan anda perkara-perkara lain pula berkaitan dengan CDN kali ini. Terima kasih kerana sudi membaca sehingga ke tahap ini. Terima kasih juga kepada semua ahli-ahli PMKUM, tenaga kerja CDN, exco dan MT PMKUM, Ex-officio, Penasihat serta semua yang terlibat. Syukran Jazilan (^_^)v

Jumpa lagi di post yang akan datang!!

Sekian,
Ahmad Bashier
Pengarah Citarasa Darul Naim 2010
Exco Ekonomi Dan Keusahawanan PMKUM 2010