Rakan-Rakan Followers

Friday, February 4, 2011

MPC umum kadar faedah kekal 2.75 peratus

BANK Negara Malaysia mengekalkan kadar faedah pada paras semasa kerana berpendapat kadarnya kini adalah wajar serta konsisten dengan penilaian semasa prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi.

Bank pusat itu dalam kenyataannya berkata, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC)nya dalam mesyuaratnya semalam memutuskan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang dijadikan penanda aras bank tempatan dalam menentukan kadar faedah masing-masing dikekalkan pada kadar 2.75 peratus.

Bagaimanapun, ia membayangkan kadar itu mungkin tidak dapat dikekalkan pada masa depan berdasarkan arah aliran semasa dana global.
“Perubahan besar dan tidak menentu arah aliran kecairan global telah meningkatkan kecairan dalam sistem kewangan tempatan. Walaupun kecairan dalam sistem kewangan masih boleh diuruskan, alat polisi tambahan seperti keperluan rizab berkanun dan langkah menyediakan pembiayaan berhemah akan ditimbangkan pada masa depan bagi mengelakkan risiko makroekonomi dan kewangan tidak seimbang,” katanya.

Bank Negara berkata, petunjuk terkini ekonomi domestik terarah kepada pengembangan dalam kegiatan sektor swasta, tetapi permintaan luar menerima kesan daripada pertumbuhan global lebih perlahan.

“Menuju ke depan, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar stabil tahun ini, disokong pengembangan kukuh permintaan domestik di sebalik permintaan luar lebih sederhana,” katanya.

Bank pusat itu berkata, perbelanjaan swasta akan disokong pertumbuhan pendapatan dan pekerjaan, manakala tinjauan memberangsangkan sektor berorien-tasikan domestik dan pengembangan industri pertumbuhan baru akan menyediakan sokongan untuk kegiatan pelaburan swasta secara berterusan.