Rakan-Rakan Followers

Monday, January 3, 2011

KPT Jumpa Wakil IPT Taklimat Perubahan Sesi Pengajian 2011/2012

Jan 3, Petaling Jaya : Kementerian Pengajian Tinggi akan mengadakan taklimat khas kepada wakil institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta pada Jumaat ini, berhubung perubahan sesi pengajian daripada bulan Julai kepada September yang bermula tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata taklimat tersebut antara lain akan membincangkan dengan lebih lanjut berhubung perubahan tersebut kepada pihak universiti dan para pelajar.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rasa tidak puas hati pelajar IPT berikutan langkah kerajaan menganjakkan tarikh pengambilan pelajar baru di semua IPT yang bertujuan menyelaraskan waktu pengambilan pelajar IPT antarabangsa, dan juga untuk menarik lebih ramai pelajar asing menyambung pengajian di negara ini.

1 Januari lalu, KPT mengumumkan pengambilan pelajar bagi mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTAS) dianjakkan dari bulan Julai ke September mulai tahun ini selaras dengan waktu pengambilan pelajar IPT antarabangsa.

“Oleh kerana pada masa lalu, tiada keselarasan waktu pengambilan pelajar, IPT tempatan gagal menarik pelajar luar negara menyambung pengajian di negara ini.” kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, keputusan berkenaan juga bagi mengelak IPTA/S di negara ini “kehilangan” pelajar cemerlang lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Apa yang berlaku ketika ini, ramai pelajar cemerlang lulusan SPM membuat keputusan melanjutkan pengajian mereka di luar negara daripada memilih institusi pengajian tinggi tempatan.

“Mereka (lulusan SPM) dilihat tidak mempunyai masa yang cukup untuk memutuskan (memilih) pusat pengajian tinggi terbaik dalam negara selepas keputusan peperiksaan dikeluarkan.

“Akhirnya ramai yang memilih pengajian tinggi swasta di luar negara terutama Singapura dan Indonesia.” katanya.

Sumber : BERNAMA

Ulasan: Semoga ianya betul-betul memberi kelebihan kepada mahasiswa/i di IPTA khususnya kepada warga kampus UM. Jika sekiranya ini berlaku, maka ianya bermaksud cuti sem siswa siswi menjadi lebih panjang berbanding sebelum ini iaitu kira-kira 4 bulan lamanya. Pelbagai faktor yang perlu diambil kira. Antaranya ialah:

a) Pemberian biasiswa/pinjaman seperti JPA/PTPTN kepada pelajar pada masa cuti tersebut sama ada diberikan ataupun tidak.

b) Majlis konvokesyen perlu dilanjutkan ataupun tidak. Ini kerana pelajar di IPTA akan memulakan pengajian mereka lambat beberapa bulan, maka secara logiknya masa seseorang siswa/i untuk grad juga agak lambat.

c) Kebajikan pelajar tempatan adakah terjamin ketika cuti panjang tersebut. Saya tidak mahu hanya kerana kerajaan mahu meningkatkan pendapatan ekonomi negara, pelajar tempatan dianak-tirikan, pelajar antarabangsa dilayan seperti raja.

Itu sahaja persoalan yang dikemukakan kepada kerajaan, harap kerajaan dapat menjawab persoalan ini :-)

Sekian