Rakan-Rakan Followers

Monday, January 31, 2011

Rakyat Mesir bangkit suarakan hak selepas 30 tahun


DEMONSTRASI besar-besaran menuntut Presiden Mesir, Hosni Mubarak, meletak jawatan sejak Selasa lalu, sejurus selepas rakyat Tunisia, melalui 'Revolusi Jasmin' menumbangkan Presiden Zine El Abinine Ben Ali, bakal merubah landskap politik di Timur Tengah dan Utara Afrika. Kejayaan penunjuk perasaan di Tunisia menamatkan pemerintahan kuku besi Ben Ali selama 23 tahun dalam tempoh 48 jam, bukan saja memberi inspirasi kepada rakyat Mesir, malah merebak ke negara serantau seperti Algeria dan Yaman walaupun bantahan di kedua-dua negara itu tidak sebesar di Mesir.

Bantahan di Mesir yang memasuki hari ketujuh hari ini dan sudah mengorbankan 150 nyawa setakat ini belum menampakkan tanda keredaan. Tindakan pihak berkuasa memutuskan perkhidmatan Internet selain menghantar puluhan trak polis antirusuhan ternyata gagal menyekat ribuan rakyat daripada menyertai protes antipemerintah. Malah perintah berkurung dan ikrar terbaru Mubarak untuk membentuk kerajaan baru dan memberi lebih banyak kebebasan kepada rakyat, dianggap sudah terlambat.
Yang jelas, media baru khususnya Twitter dan Facebook, sekali lagi memainkan peranan dalam penyebaran maklumat dan perancangan aktiviti di kalangan penunjuk perasaan. Walaupun pihak berkuasa Mesir menyekat akses Internet, pengguna Twitter di negara itu dilaporkan berhubung menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) menggunakan telefon bimbit dan aplikasi lain. Jika media baru sebelum ini terbukti memainkan peranan penting dalam pilihan raya seperti berlaku ketika pilihan raya presiden Amerika Syarikat, ia juga boleh mencetuskan ‘revolusi’ yang prosesnya sedang berlaku di Mesir sekarang.

Sebagai kuasa besar di Timur Tengah serta sekutu Amerika Syarikat dan rakan Israel, perkembangan terbaru di Mesir akan memberi kesan kepada rantau yang sentiasa bergolak itu. Walaupun tunjuk perasaan dan rusuhan bukan perkara baru di Mesir, kebangkitan rakyat kali ini adalah terbesar selepas rusuhan membantah tindakan Presiden Anwar Sadat memotong subsidi roti pada 1977. Jika demonstrasi di Mesir sebelum ini sering dikaitkan dengan parti pembangkang terbesar di negara itu, Ikhwanul Muslimin, bantahan sekarang membabitkan rakyat pelbagai lapisan dan latar belakang politik terutama kalangan belia.

Sementara Agensi Perisikan Pusat (CIA) dilaporkan merancang menumbangkan kerajaan Mesir sejak tiga tahun lalu, punca kebangkitan rakyat Mesir dan beberapa negara Arab sekarang tentunya bukan semata-mata ‘dipengaruhi secara halus’ oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Britain yang mempunyai kepentingan politik dan ekonomi di rantau itu. Yang nyata sepanjang hampir 30 tahun di bawah seorang presiden, majoriti rakyat Mesir menghadapi pelbagai kesukaran hidup – daripada kekejaman polis, undang-undang darurat, pengangguran, gaji rendah, kekurangan tempat tinggal sehingga kepada inflasi tinggi, ketiadaan kebebasan bersuara dan rasuah yang berleluasa.

Keadaan inilah yang lumrah berlaku di kebanyakan negara dunia ketiga menyebabkan rakyat bangkit memberontak seperti berlaku di Mesir, Yaman dan Algeria sekarang, sama ada didalangi pihak ketiga atau tidak. Pihak ketiga yang terdiri daripada kuasa asing hanya menjadikan peluang itu untuk mengukuhkan pengaruh mereka, sekali gus mengekalkan kepentingan masing-masing di negara berkenaan. Memang tidak dinafikan, Amerika Syarikat atau agensinya terbabit terutama membantu kumpulan penentang kerajaan di Tunisia dan Mesir tetapi akhirnya masalah politik dan ekonomi yang mendorong kebangkitan rakyat di kedua-dua negara itu.
Langkah terbaru Mubarak melantik ketua perisikan Mesir, Omar Suleimen sebagai Timbalan Presiden, jawatan pertama diwujudkan setelah 30 tahun beliau memerintah, yang dilihat sebagai menunjukkan bakal penggantinya jika terpaksa berundur nanti, gagal meredakan demonstrasi rakyat. Setakat ini, tentera hanya bertindak terhadap penunjuk perasaan yang memusnahkan harta benda awam tetapi hanya memantau demonstrasi aman. Hanya polis yang menggunakan kekerasan kepada penunjuk perasaan.

Pergolakan di Mesir, negara terbesar di Timur Tengah dan memainkan peranan penting dalam keselamatan di rantau itu bakal memberi pelbagai kesan kepada percaturan politik di dunia Arab/Islam selepas ini. Beberapa persoalan timbul jika perkembangan sekarang berakhir seperti berlaku di Tunisia. Antaranya kedudukan Mesir sebagai pangkalan tentera Amerika Syarikat, apakah ia memberi kesan kepada harga minyak dunia yang sudah pun tinggi sekarang dan sejauh mana ia mempengaruhi hubungan Palestin-Israel. Lebih menarik perhatian ialah sejauh dan secepat mana kebangkitan rakyat yang berjaya menumbangkan rejim di Tunisia itu, merebak ke negara Arab lain termasuk Arab Saudi?