Jan 4, Kuala Lumpur : Perubahan kalendar akademik universiti kepada September bukan bertujuan menarik pelajar antarabangsa sebaliknya lebih kepada usaha menyelaraskan tempoh pengajian dengan universiti asing.
Menurutnya, dalam proses pengantarabangsaan pengajian tinggi Malaysia, pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu didedahkan kepada senario pengajian tinggi antarabangsa melalui pendedahan budaya serta amalan luar.
“Sebagai contoh, pendedahan melalui Program Mobiliti Malaysia-Indonesia-Thailand adalah peluang terbaik untuk mendedahkan para pelajar kita kepada amalan luar.
“Namun peluang ini tidak dapat dimanfaatkan oleh pelajar tempatan disebabkan ketidaksamaan jadual dengan universiti di Indonesia dan Thailand kerana mereka memulakan kalendar sesi akademik pada September setiap tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah beliau, penyelarasan itu juga membolehkan profesor-profesor terkenal dari luar negara berkongsi kepakaran dalam aktiviti penyelidikan dengan IPT tempatan.
Justeru dengan adanya penyelarasan sebegini, pensyarah IPTA dapat mengambil peluang serta inisiatif untuk memulakan kolaborasi penyelidikan dengan universiti luar negara tanpa perlu menjejaskan waktu untuk berjumpa pelajar.
Mengulas mengenai mobiliti pelajar antarabangsa, beliau berkata, penyelarasan kalendar akademik membolehkan pelajar-pelajar IPT ternama dunia ke negara ini untuk mempelajari dan mendapat pemindahan kredit minimum satu semester.
Kata beliau, langkah tersebut menguntungkan Malaysia yang membolehkan pelajar antarabangsa berkongsi cara pembelajaran sekurang-kurangnya satu semester bersama pelajar tempatan.
Mohamed Khaled turut mengumumkan fasa pelaksanaan kalendar akademik IPTA dari tahun 2011/2013 dianjakkan sebanyak dua minggu ke hadapan dari tarikh asal pelaksanaan pada sesi akademik 2010/2011.
Ini bermakna pendaftaran pelajar baru adalah pada 25 Julai bagi sesi orientasi dan pendaftaran pelajar lama bermula pada 1 Ogos.
“Ini bagi memudahkan pengurusan pihak universiti dan seluruh masyarakat untuk persiapan hari raya”
“Bagi pelajar lama, kementerian memberi fleksibiliti kepada IPTA untuk menentukan sama ada pelajar tersebut wajib mengikuti kalendar asal atau kalendar baru,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment