Rakan-Rakan Followers

Wednesday, December 8, 2010

Punahnya Aset Hidup

HASRATNYA sentiasa berkobar-kobar untuk belajar, namun diskriminasi dan percaturan hidup keluarganya membuatkan keinginannya terhalang.

"Saya ingin ke sekolah, malangnya keluarga tidak bersetuju. Salahkah jika ingin belajar dan mengubah masa depan menjadi lebih baik? "Kehidupan ini sangat menyakitkan, semuanya terhalang, jadi ke manakah hidup saya akhirnya," luah Laeilita, wanita yang terpaksa menghabiskan seumur hidupnya terikat dengan kongkongan keluarga di sebuah penempatan terpinggir di India.

Dia sebahagian golongan wanita dan kanak-kanak di merata dunia yang dinafikan hak memperoleh pelajaran dengan alasan tidak masuk akal - hanya perlu duduk di ceruk dapur atau menghambakan diri pada lelaki.


Diskriminasi terhadap golongan itu sudah lama wujud hingga menimbulkan persoalan, bagaimanakah nasib golongan itu pada masa depan? Apakah terus diperhambakan atau mempunyai sinar mengubah penghidupan.

  • Foto

    PUNYA KUASA...kuasa pelajar wanita boleh menentukan pembangunan sesebuah institusi atau negara pada masa depan.

  • Foto

    BELAJAR...lelaki menggunakan kuasa vetonya untuk belajar, meninggalkan golongan wanita di belakang atas dasar budaya dan pemikiran lama.

  • Foto

    MERENUNG NASIB...apakah yang akan berlaku sekiranya hak untuk memperoleh pendidikan terus dinafikan.

Pakar sosiologi, Amanda Chapman, berkata pelbagai usaha dilakukan bagi membantu golongan itu, malangnya berdepan kesukaran kerana dilingkari budaya dan pemikiran kuno yang memberi hak kepada golongan tertentu membuat keputusan.


Beliau berkata, kebanyakan wanita dari negara dunia ketiga tidak mampu bersuara meskipun mempunyai keinginan keluar daripada kepompong buta huruf.


"Persoalan harus ditekankan ialah keadaan budaya dan pemikiran yang membelenggu masyarakat itu hingga mengakibatkan kegagalan. Mereka bukan tidak mahu berubah, tapi dibatasi golongan tertentu yang mengawal keseluruhan keputusan.

"Meskipun diberi penerangan dan menjalankan pelbagai usaha, jika mereka menolak, adakah itu dikatakan satu kegagalan?" soalnya.


Isu diskriminasi gender untuk memperoleh pendidikan bukan baru malah bertapak sejak sekian lama.

Bagi pihak tidak berkepentingan, menganggapnya sebagai satu tindakan kejam yang boleh memusnahkan masa depan keseluruhan sistem masyarakat.


Manakala pihak berkepentingan, berang kerana tidak mampu menukar corak dan budaya pemikiran masyarakat.


Beliau berkata, meskipun pendidikan diiktiraf sebagai kelangsungan utama dalam masyarakat, sikap segelintir pihak tidak mahu melihatnya dalam konteks luas sangat dikesali.


"Ada pihak menganggap apabila wanita mempunyai pendidikan tinggi, mereka akan mengambil alih peranan keluarga.


"Mungkin atas alasan itu, mereka dimomokkan dengan pelbagai ugutan. Sangat menyedihkan apabila hak itu dinafikan dengan imaginasi tidak tepat.


"Dalam istilah pendidikan, tiada seorang pun mampu menafikan hak orang lain belajar, malangnya itulah yang melanda sebahagian besar masyarakat dunia," katanya.


Beliau mengakui diskriminasi meninggalkan kesan tentangan psikologi hebat kepada golongan yang inginkan perubahan hidup.


Golongan terbabit, katanya bukan saja memberontak malah mengakibatkan kesan buruk kepada keseluruhan sistem kekeluargaan.


"Konflik dan tekanan daripada dua pihak yang mempunyai pertentangan pendapat pasti akan menimbulkan musibah dahsyat dan memusnahkan satu sistem masyarakat kukuh. Paling ditakuti nyawa melayang hanya kerana ingin mempertahankan maruah.

"Lihatlah betapa sukarnya ingin mengubah satu dasar yang sudah kukuh dibina sejak sekian lama. Masyarakat perlu faham, ia bukan mudah namun usaha perlu dilakukan," katanya.


"Inilah masalahnya apabila lelaki menunjukkan keegoan dan menggunakan kuasa veto hingga wanita tidak mampu berdikari," katanya.


Penyelidik sosial, J A Jacob turut mengakui budaya masyarakat lebih mementingkan anak lelaki menjadi punca wanita terus menjadi mangsa diskriminasi.


Namun, katanya diskriminasi tidak hanya berlaku di negara mundur malah secara global dan latar belakang masyarakat.


"Bagaimanapun setiap diskriminasi ini pasti akan meninggalkan tragedi secara individu atau keseluruhan.


"Musibah ini harus dihentikan kerana dunia memerlukan pendidikan sebagai aset masa depan. Diskriminasi 'membunuh' peradaban manusia secara senyap," katanya.




>INFO:
> Mengikut statistik Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dua pertiga daripada negara seluruh dunia berdepan masalah pelajar perempuan tidak memperoleh pendidikan sempurna di sekolah rendah dan menengah manakala separuh daripadanya tidak berpeluang mencapai kesetaraan pendidikan menjelang 2015.
> Sementara di Amerika Syarikat, pada 2005, jumlah pelajar perempuan di keseluruhan kolej meningkat lebih lima puluh peratus dan sebanyak enam puluh peratus mengambil ijazah sarjana muda di universiti.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Punahnyaasethidup/Article/index_html

No comments:

Post a Comment