Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Semoga berada dalam keadaan sihat walafiat. Penulis sentiasa mendoakan kejayaan anda semua.
Baiklah, pada email kali ini, penulis ingin berkongsi dengan anda berkaitan dengan tips-tips yang penting yang akan membuatkan anda berjaya sekiranya anda konsisten untuk mengamalkan tips-tips ini. Biasanya tips-tips ini penulis hanya bongkarkan sebagai mukadimah sebelum penulis memulakan sesuatu kelas. Untuk pengetahuan anda, penulis merupakan seorang guru tuisyen sepenuh masa di Pusat Tuisyen Tunas di Saujana Utama. Alhamdulillah, pengalaman yang dikutip selama mengajar di situ amat bermakna bagi penulis. Baiklah kita tinggalkan seketika berkaitan dengan tuisyen tersebut, penulis ingin mendedahkan rahsia yang nampak ringkas tetapi jika diamalkan insyaallah akan menghasilkan pulangan yang maksimum kepada diri kita sendiri. Tipsnya ialah:
a) Selalu Bertanya
Ketika penulis kecil 10 tahun dahulu, penulis selalu berasa segan untuk bertanyakan cikgu jika penulis tidak memahami sesuatu perkara. Penulis hanya memendamkan sahaja persoalan yang bermain di benak pemikiran penulis. Tetapi sejak penulis mengetahui betapa hebatnya kuasa bertanya, penulis cepat-cepat bertanya kepada sesiapa sahaja terutamanya guru dan rakan-rakan penulis agar penulis dapat memahami sesuatu perkara tersebut dengan lebih jelas dan terperinci. Sehingga sekarang pun, penulis masih mengamalkan tips ini walaupun kadang-kadang timbul juga perasaan malu untuk bertanya. Hal ini disebabkan jika penulis segan bertanya, penulis sendiri akan rugi. Penulis tidak mahu rugi lagi. Penulis mahu menjadi seorang yang untung dan beruntung. JJ J
b) Selalu Mengulangkaji Pelajaran
Aspek ini amatlah penting terutamanya kepada pelajar dan mahasiswa yang akan menghadapi peperiksaan. Pernahkan anda bertanyakan kepada diri anda, berapa jamkah anda memperuntukkan masa untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran? Sebenarnya ianya bergantung kepada seseorang individu tersebut . Hal ini disebabkan keupayaan untuk seseorang untuk memahami sesuatu perkara adalah berbeza-beza. Contohnya, jika si A hanya perlukan 10 minit sahaja untuk memahami sesuatu perkara, si B pula memerlukan masa selama 30 minit untuk memahami perkara yang sama. Melalui situasi ini kita dapat melihat pada akhirnya si A dan si B dapat memahami perkara yang sama walaupun masa yang diambil adalah berbeza-beza. Begitu juga halnya dengan pembelajaran. Jika anda merasakan anda memerlukan masa yang lebih lama untuk mengulangkaji, teruskanlah usaha anda tersebut. Yang penting anda konsisten untuk mengulangkaji sesuatu pelajaran tersebut.
c) Buat Peta Minda
Mengikut Kajian, jika anda membuat peta minda, anda akan lebih mudah untuk memahami sesuatu perkara. Bukan itu sahaja, pemahaman anda tersebut akan kekal berpanjangan jika dibandingkan dengan mereka yang membuat nota panjang tanpa sesuatu yang menarik. Jadi, nasihat saya teruskanlah membuat peta minda dengan awal dan janganlah meminjam nota dan fotostat nota tersebut daripada kawan anda. Gunakanlah kreativiti yang anda ada tersebut untuk memaksimumkan kefahaman anda.
Itu sahaja tips panas yang boleh saya kongsikan kepada anda. Andaikata tips tersebut tidak membantu anda, saya memohon kemaafan kerana tips ini saya dedahkan berdasarkan pengalaman saya sendiri. Betulkan saya jika saya salah ye. J
Salam Pembelajaran:
Ahmad Bashier bin Muhammad Afifi
No comments:
Post a Comment